Wednesday, July 8, 2009

MAHASISWA : IDEALISME DAN CABARAN MASA DEPAN

KITA sering mendengar bahawa mahasiswa merupakan aset yang cukup berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat pada masa hadapan. Namun begitu, sejauhmanakah mahasiswa itu sendiri memahami peranan mereka dalam proses pembangunan Negara? Adakah mereka telah bersiap sedia untuk memikul tanggung jawab yang bakal diberikan?
Samada kita sedar atau tidak mahasiswa kini bukan sahaja berdepan dengan penyakit sindrom kurang membaca untuk membina kredibiliti minda kelas pertama tetapi turut dihinggapi penyakit sosial yang mampu meranap dunia peradaban manusia kini. Oleh itu, mahasiswa perlu sedar untuk lebih proaktif bagi memacu menghimpun momentum pertumbuhan pembangunan Negara.
Sejarah telah membuktikan ilmu pengetahuan amat penting untuk mengubah tamadun manusia dari zaman gelap ke zaman renaissance. Revolusi perindustrian yang berlaku pada kurun ke 19, telah mencetuskan pelbagai kemajuan tidak kira samada bidang perubatan,teknologi,senibina dan perdagangan. Rata-ratanya adalah kesan daripada peningkatan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat Barat.
Para orientalis Barat pada awal membina tamadun bangsa Eropah sanggup menjelajah ke pelosok dunia bagi mengkaji sesuatu tamadun bagi memajukan Negara Eropah dan bangsa mereka.Hal ini jelas memberi kejayaan yang besar kepada dunia Barat. Namun begitu, sejauhmanakah sejarah penciptaan sesuatu tamadun dan peradaban manusia itu dijadikan contoh dalam membina pemikiran golongan generasi muda pada hari ini?
Kita maklum pada hari ini, kita telah melahirkan ramai graduasi dalam pelbagai bidang dari luar Negara tetapi berapa ramai diantara mereka yang mempraktikkan ilmu yang diperolehi? Bukan setakat graduasi dari luar Negara bahkan juga mereka yang belajar dalam Negara perlu sedar tentang pentingnya mengamalkan ilmu yang dimiliki untuk kemaslahatan ummah.
Mahasiswa perlu menggunakan masa yang sebaik mungkin semasa berada di kampus lagi yang bertujuan untuk membina karisma dan ketrampilan dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, mahasiswa juga perlu mempersiapkan diri terutamanya ketika berhadapan dengan cabaran. Persiapan bukan sahaja perlu dibuat melalui aspek mental dan fizikal tetapi turut melibatkan kerohanian mahasiswa itu sendiri. Hal ini disebabkan cabaran yang bakal dilalui oleh golongan mahasiswa akan menguji kekuatan mental dan fizikal. Jika diri mereka lemah sudah pasti mereka akan tersungkur sedangkan mahasiswa merupakan bakal mewarisi aset terpenting Negara iaitu pentadbiran Negara. Sekiranya pemantapan daripada aspek kerohanian kurang dihayati sudah pasti akan merencatkan lagi usaha kerajaan untuk melahirkan pewaris tampuk pemerintahan Negara..
Oleh yang demikian,mahasiswa perlu bertindak proaktif dan dinamis agar tidak tersasar daripada arus kemodenan yang pastinya meragut pemikiran mereka sekiranya tidak dikawal.Saya mencadangkan agar mahasiswa perlu diberikan ruang yang lebih luas untuk menonjolkan diri dalam segenap bidang dan mereka perlu bijak menggunakan peluang yang sedia ada.
Mahasiswa perlu diberi peluang untuk bersuara di meja parlimen bagi membawa isu mahasiswa secara langsung dan bukannya melalui pelbagai karenah birokrasi sehingga membantutkan mereka untuk mengutarakan pandangan yang bernas.
Walaupun mereka masih muda dan ada sesetengah pihak memperlekeh kewibawaan golongan ini, namun mereka seharusnya diberi peluang untuk bersuara yang membabitkan isu-isu semasa sekaligus mengelakkan demonstrasi di jalanan yang pastinya mencabar krediiliti barisan kepemimpinan Negara. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan mahasiswa untuk dieksploitasi semata-mata oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dengan hasrat ingin mencapai matlamat mereka.
Sebenarnya, suara golongan mudalah amat penting untuk didengari memandangkan mereka bakal pelapis peneraju utama Negara sementara pemimpin yang sedia ada perlu memberi garis panduan agar mahasiswa tidak menyimpang daripada hala tuju yang sebenar dalam memartabatkan maruah bangsa dan Negara. Kita perlu sedar,peristiwa yang berlaku dalam kalangan mahasiswa hari ini seperti demonstrasi jalanan adalah petanda awal bahawa mereka inginkan peluang dan ruang untuk bersuara.
Kesimpulannya, sekarang bukanlah masanya untuk saling tuding- menuding antara satu sama lain tetapi kita haruslah bersatu dalam memastikan keharmonian Negara dipelihara dari sebarang anasir yang mampu meragut ketenteraman masyarakat.Mahasiswa perlu sedar sebagai golongan intelektual, mereka perlu melengkapkan diri dengan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada sekaligus mempraktikkannya dalam pelbagai kondisi mengikut kesesuaian. Kerajaan perlu mewajibkan setiap IPIA atau IPTS mengadakan program-program ilmiah yang berteraskan minda kelas pertama bagi memantapkan idealism dalam kalangan mahasiswa.


by aini