Pasca kemerdekaan menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara yang kian pesat membangun ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Walaubagaimanapun, Negara kita dilanda pelbagai penyakit sosial yang pastinya dicetuskan oleh golongan remaja. Saban hari, meniti dari bibir ke bibir bermula dari kedai-kedai kopi hinggalah ke meja parlimen isu kebejatan sosial dalam kalangan remaja pada masa ini telah menjadi barah dalam masyarakat. Remaja diertikan sebagai seseorang yang baru mengalami peralihan zaman kanak –kanak ke alam dewasa manakala cermin kehidupan membawa konotasi perilaku yang dibawa oleh remaja ini dalam hidup mereka .
Secara konseptualnya, remaja amat signifikan dengan isu sosial pada hari ini. Remaja sering digambarkan dalam keadaan kegersangan akhlak dan pemikiran. Persoalannya, sejauhmanakah golongan remaja pada masa ini dikatakan rosak akhlaknya? Jelasnya, masalah ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat memandangkan isu ini melibatkan imej Negara. Justeru, pelbagai faktor yang menyebabkan isu ini berlaku dan inisiatif yang lebih proaktif dan efektif perlu diambil bagi menangani masalah ini.
Di dalam tulisan ini saya menggariskan bahawa terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada masalah sosial iaitu kurang perhatian keluarga, rakan sebaya dan media masa. Antara faktor utama yang menyumbang ke arah berlakunya gejala ini ialah kurangnya perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa dilihat sentiasa mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak. Segelintir ibu bapa sentiasa mengejar kemewahan hidup tanpa mempedulikan perasaan anak-anak yang inginkan belaian kasih-sayang daripada mereka. Menurut kajian yang dijalankan fungsi keluarga melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis.
Natijahnya, pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik berlaku di dalam Negara. Golongan remaja yang terabai juga lebih mudah terpengaruh dengan budaya hedonisme, sensasi, glamour, dan sindrom kurang daya tahan. Sebahagian ibu bapa lebih mementingkan pencapaian akademik semata-mata tanpa mengambil berat soal pergaulan anak-anak bahkan ada juga ibu bapa yang bersikap lepas tangan terhadap anak-anak.
Hal ini sangat bertentangan dengan sabda Rasullullah saw yang bermaksud : “Setiap anak yang dilahirkan maka ibu bapalah yang bertanggungjawab keatas anaknya samada menjadi yahudi ,nasrani atau majusi.”(Riwayat Bukhari)
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik jiwa anak-anak mereka agar anak-anak tidak berasa sunyi dan tersisih. Hal ini penting bagi menjamin mantapnya sesebuah institusi kekeluargaan.Selain itu, rakan sebaya juga turut mempengaruhi rakan yang seusia dengan mereka.
Selain ibu bapa, rakan sebaya juga sangat akrab dengan remaja Hal ini disebabkan ketika usia sebegini mereka mula mencari identiti sendiri dan pada masa yang sama golongan ini lebih cenderung untuk mencari seseorang untuk dijadikan teman berkongsi masalah lebih-lebih lagi seseorang yang dapat memahami diri mereka. Sekiranya, mereka gagal memilih rakan sebaya yang baik, maka tidak hairanlah mereka lebih terdedah dengan budaya lepak, ketagihan dadah dan pornografi.
Akhirnya, jika perkara ini dibiarkan mereka akan mudah dijangkiti penyakit sosial seperti pergaulan bebas, penzinaan dan budaya lepak. Kajian juga mendapati bahawa kebanyakkan kes-kes jenayah adalah terdiri daripada golongan remaja. Jelasnya, golongan remaja tidak mempunyai ‘role mode’l atau Qudwah Hasanah untuk dijadikan sebagai contoh dalam diri mereka. Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud :“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasullullah saw itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orng-orang yang mengharap (rahmat) Allah swt dan( kedatangan hari akhir dan dia banyak menyebut Allah swt .” Golongan remaja perlu mencontohi kepimpinan yang ada pada diri Rasullullah saw kerana baginda merupakan pemimpin teragung di dunia.
Sejarah telah membuktikan perjuangan baginda saw dalam memperjuangkan Islam adalah amat dikagumi. Rasullullah saw mempunyai akhlak yang terpuji sejak kecil lagi dan inilah yang patut diteladani oleh semua remaja pada masa ini. Tenaga muda mudi amat penting untuk kesinambungan pemerintahan Negara pada masa depan. Pada zaman Rasullullah saw, golongan muda telah terlibat dalam peperangan mempertahankan maruah Islam. Misalnya, Usamah bin Zaid yang menjadi panglima tentera islam yang paling muda iaitu berusia 17 tahun ketika memimpin tentera islam untuk bertempur dengan tentera Byzantium di Parsi, sebagai sebuah kuasa empayar besar ketika itu sehingga memperoleh kemenangan. Seterusnya, media massa juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di kalangan remaja. Madia massa sentiasa menyiarkan dan memaparkan rancangan-rancangan berbentuk hiburan yang berlebih-lebihan . Ada juga rancangan-rancangan yang ditayangkan berunsur pornografi dan tidak ditapis terlebih dahulu sebelum dipertonton kepada masyarakat umum . Hal ini boleh mempengaruhi mentaliti anak-anak remaja. Media cetak juga kurang memaparkan bahan-bahan berunsur ilmiah yang boleh memacu pembentukkan pemikiran golongan ini. Implikasinya, remaja pada masa ini berada di zon ‘selesa’ tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Ironinya, masyarakat kini hanya mampu berpeluk tubuh dan goyang kaki seolah-olah lebih rela melihat media massa mempertaruhkan masa depan golongan remaja untuk dibuai arus lambakan program yang tidak berkualiti.
Akhirnya, hal inilah yang membawa kepada lahirnya golongan remaja yang rosak akhlaknya.Langkah-langkah yang jitu dan efektif perlu diambil bagi menangani gejala ini. Sikap dan paradigma intelektual yang menggabungkan pelbagai pendekatan yang releven perlu diadaptasikan . Hal ini juga perlu selaras dengan kehendak Islam iaitu mengenal pasti punca dan mencadangkan penyelesaian masalah secara mikro dan bersepadu. Misalnya, seminar mengenai institusi kekeluargaan yang mantap berlandaskan syariat perlu diadakan. Seminar ini perlulah diselitkan dengan teknik pengurusan masa yang berkesan bagi ibu bapa yang bekerjaya agar anak-anak tidak berasa terpinggir angkara kesibukan ibu bapa. Pendekatan ini amat bertepatan dengan idealisme perjuangan Islam yang mementingkan kesejahteraan agama, diri dan masyarakat.
Kesemua rencah ini perlu diadun dengan cukup rapi sehingga menjadikannnya lebih bersifat bersepadu dan matlamat yang mengaitkannya dengan kerangka pencarian kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat lebih terlaksana. Sejarah telah membuktikan penggunaan kaedah ini mampu membangunkan modal insan secara holistik.
Pemuda Ashabul kahfi yang digambarkan oleh Allah s.w.t melalui surah Ashabul kahfi ayat 13 yang bermaksud :“ Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka dan kami tambahan mereka dengan hidayah petunju.”
Disamping itu, media massa perlu menjelaskan peranan-peranan kerajaan dan NGO dalam menangani masalah sosial. Antaranya, program-program dakwah untuk remaja yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui unit Hal Ehwal Agama. Contohnya, seminar dakwah dan kepimpinan islam. Tugas membangun dan membimbing umat ke arah kehidupan yang seimbang duniawi dan ukhrawi amat berat dan perlu dilaksanakan dengan penuh komited. Amanah mambangun khairah ummah ini harus dipikul oleh golongan muda mudi kerana mereka mempunyai kecergasan dan kecerdasan yang diharapkan dapat memperjuangkan dan memartabatkan agama.
Namun begitu, pernahkah kita terfikir apakah ciri-ciri remaja yang berkualiti? Tentunya iman, taqwa, dan akhlak mulia adalah nilai utama untuk memenuhi misi qudsi ini. Remaja pula perlu memiliki semangat waja untuk berkorban di jalan yang diredhai Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:“ terdapat tujuh golongan manusia yang di beri naungan Allah pada hari terdapat tiada naungan melainkan naungan-Nya salah satu daripada golongan itu ialah pemuda yang seluruh hidupnya ditumpukan untuk tujuan beribadah untuk tuhannya.”Hadis ini jelas menggambarkan ciri-ciri remaja yang beribadah, tunduk kepada perintah Allah adalah salah satu golongan yang mendapat tempat yang istimewa seperti yang dijanjikan oleh Allah swt.. Kedudukan dan peranan remaja diiktiraf oleh agama dan masyarakat.
Di puncak, mereka terletak tanggungjawab memimpin Negara dan mencipta kecemerlangan bangsa dan mengangkat Khaira Ummah. Remaja juga perlu menghiasi diri mereka dengan ilmu yang kukuh dan keimanan yang ampuh. Ketiga-tiga faktor ini amat penting untuk mengadakan anjakan paradigma bagi mengharungi cabaran pada era globalisasi.Secara kesimpulannya, remaja perlu besedia daripada semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Remaja perlu terlibat dengan program-program pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri modal insan yang bertaqwa dan inilah ubat yang paling mujarab untuk merawat penyakit sosial ini. Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.
Pihak kerajaan dan NGO perlu lebih serius mengadakan program–program yang bersesuaian untuk golongan ini. Media massa juga perlu bergabung dengan semua pihak bagi memastikan golongan remaja ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak.
Oleh: KAK_AINI