Teruja! Hanya itulah perasaan yang dapat saya gambarkan ketika melihat DSAI berpidato di hadapan mahasiswa –mahasiswi unisel sebentar tadi. Sukar untuk saya bayangkan bagaimana aura gerakan mahasiswa islam dalam jiwa DSAI masih segar dan bertenaga. Keadaan inilah yang menarik ribuan mahasiswa di unisel untuk melihat secara dekat DSAI ketika beliau memberikan percambahan idealisme dalam kalangan mahasiswa Unisel . Apa tidaknya jangkaan saya terhadap mahasiswa UNISEL yang suka hiburan semata-mata turut meleset. Kini saya sedar sebahagian mahasiswa di Unisel juga mempunyai daya kredibiliti tersendiri. Mereka juga mempunyai peka terhadap isu-isu semasa. Ketika mana mereka menjelmakan beberapa soalan kepada DSAI. Ternyata, ini adalah bukti dan petanda bahawa mahasiswa unisel juga setanding dengan penuntut-penuntut termuka di universiti tempatan. Saya berpandangan, mana-mana pemimpin pun yang datang ke Unisel untuk memberikan kesedaran kepada mahasiswa dan menyampaikan wacana ilmu yang berkesan, maka tidak ada alasan bagi kami sebagai mahasiswa unisel untuk menolak kedatangan golongan ilmuwan sebegini.
Sepanjang pengamatan saya sepanjang program ini diadakan, DSAI telah mengheret minda para hadirin dengan mengupas sedikit intipati daripada sebuah buku yang bertajuk Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaaan Alam Melayu oleh Syed Naquib Al Attas. Antara intipati tersebut ialah hidupkan tadisi ilmu. Mahasiswa perlu segar dengan ilmu kerana inilah salah satu elemen penting untuk membina kekuatan generasi akan datang. Mahasiswa perlu melakukan anjakan paradigma dan bukannya dihimpit dengan pelbagai polemik semasa yang akhirnya mengheret mahasiswa agar menjadi lesu dan longlai. Di Republik Indonesia mahasiswanya begitu berani bertindak untuk memperjuangkan sesuatu. Malah barisan pimpinan republik tersebut begitu gentar dengan mahasiswanya. Lain pula halnya di Malaysia yang mana mahasiswanya dididik melalui beberapa proses untuk memperjuangkan sesuatu dan salah satunya melalui diplomasi atau perbincangan.
Walaupun pertemuan di antara DSAI dan mahasiswa unisel begitu singkat, namun ia memberi makna yang cukup besar kepada semua yang hadir. Diharap program-program ilmu sebegini perlu dirancakkan di IPTS seperti Unisel agar proses tradisi ilmu terus bersemarak di kampus ini dan bukannya memandang seseorang ilmuwan itu dari kacamata politik sempit.