SABAH : PARADIGMA PEMIKIRAN SEBAGAI PENYELESAIAN PATI
Resah – gelisah, geram, marah dan sebagainya itulah perasaan yang menyelubungi sebahagian besar penduduk jati diri Sabah terhadap isu pendatang tanpa izin.Tidak kurang hebatnya laman-laman web yang ada pada masa ini dijadikan medan untuk mencurah perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat jati di Sabah.
Namun begitu, sejauh manakah perasaan kurang senang ini menghantui jiwa mereka? Adakah diskusi melalui laman-laman web mampu meredahkan kekusutan yang ada dalam benak mereka? Saya yakin dan percaya keadaan ini hanya memerlukan sedikit masa untuk ‘melancarkan serangan peluru berpandu’ sebagai tanda pemberontakan mereka terhadap isu ini sekiranya pemimpin di Sabah tidak serius untuk menangani isu ini.
Sesetengah penduduk jati diri di negeri ini berpandangan isu ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan ia melibatkan tanah tumpah darah mereka. Mereka juga tidak kisah kedatangan PATI ke negeri ini adalah untuk memenuhi tuntutan kerja dan lawatan semata-mata tetapi biarlah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Kedatangan PATI ke Negeri ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan sesetengah penduduk jati di negeri ini tetapi turut memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan sosiobudaya masyarakat setempat .
Sebenarnya,, bahang kedatangan PATI ke negeri ini telah mula dirasai sejak berabad lama lagi.Tetapi hari ini kesannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Masyarakat sudah bijak untuk menilai sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian di negeri ini.Perkara yang cukup merunsingkan lagi ialah mudahnya PATI memperoleh Mykad .Pelik tapi benar itulah realitinya.Adakah ini berpunca daripada rapuhnya sistem pendaftaran di Sabah sehingga kelompangan ini telah memberi laluan pada PATI untuk membina ‘Negara’ sendiri di negeri ini?
Kerajaan juga telah menghabiskan berbillion ringgit semata-mata untuk menghantar PATI pulang ke Negara asal mereka dan merangka strategi untuk memberi tempoh pengampunan kepada PATI untuk pulang ke Negara asal mereka sendiri tanpa melalui proses hukuman. Adakah ini juga membawa gelaran yang bodoh kepada pemimpin kita?
Masyarakat Sabah dan pemimpin Sabah harus bijak berfikir dan pantas bertindak bahawa isu ini tidak akan menemui jalan penyelesaiannya sekiranya saling tuding-menuding antara satu sama lain. Masyarakat jati negeri ini dan pemimpin di Sabah harus duduk semeja untuk mengadakan rundingan bagi mencari jalan penyelesaian untuk kemelut ini.
Kedua-duanya perlu memberi komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan fenomena ini dan bukannya asyik mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada tanpa memperhalusi kemelut ini. Masyarakat juga perlu mengubah mentaliti mereka agar tidak disempitkan dengan fahaman politik sempit yang mampu merasuk minda segelintir masyarakat di Sabah. Mereka perlu mempunyai pendirian yang teguh untuk membincangkan perkara ini seadil-adilnya.
Perubahan daripada aspek mentaliti rakyat di negeri ini secara tidak langsung dapat memberi impak yang positif terhadap penyelesaian sesuatu kemelut di negeri ini. Berbalik pada perjuangan nenek moyang kita dalam memperjuangkan kebebasan di negeri ini.Kita perlu sedar keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil pengorbanan jiwa mereka hingga ketitisan darah terakhir. Kemakmuran yang dikecapi pada hari adalah melalui proses yang cukup rumit sehingga memakan masa yang terlalu panjang. Proses untuk mendapatkan kemerdekaan pada hari ini bukan mudah .
Kita mudah lupa dan cepat melatah apabila dihimpit sesuatu masalah. Kita juga sentiasa mencari kesempurnaan tanpa memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk sesuatu kemelut. Kita sering melabelkan pemimpin hari ini ini bodoh,pengecut dan sebagainya tetapi pernahkah kita terfikir sekiranya kita berada di tempat mereka?
Saya bukanlah pro kerajaan atau pro pembangkang tetapi sebagai rakyat kita perlu matang untuk meninjau keadaan dan bijak untuk membuat keputusan. Pokok pangkal berlaku sesuatu masalah adalah disebabkan kejahilan kita dalam menjelmakan pemikiran kita yang bernas dalam bentuk realiti secara kognitif.
Kita sering lantang menyuarakan perasaan kurang senang kita terhaadap isu PATI, tetapi adakah kita fikir jalan penyelesaiannnya? Dan adakah kita komited untuk bantu kerajaan untuk menangani masalah ini? Misalnya, ops penangkapan dan pemulangan PATI secara besar-besaran di Sabah. Apabila ops ini dijalankan saya percaya hampir sebahagian besar penduduk di negeri ini tidak serius untuk membantu kerajaan kerana hampir sebilangan besar masyarakat di negeri ini yang menjadi ejen untuk bertindak melindungi PATI daripada diberkas oleh pihak berkuasa. Mereka sanggup melindungi PATI atas dasar simpati dan juga ada unsur kekeluargaan.
Saya berpandangan sekiranya perkara ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat di Sabah, dengan peruntukkan perbelanjaan pihak kerajaan mencecah jutaan ringgit tetap tidak akan menemui noktahnya.Semua ini juga adalah berpunca daripada mentaliti sebahagian besar masyarakat di Sabah.
Sabah merupakan negeri yang sangat luas dengan kapasiti penduduk terbesar.Misalnya,di Tawau jumlah penduduknya pada tahun 2005 ialah sebanyak 130,000 orang ini yang diperoleh daripada Majlis Perbandaran Tawau.
Tambahan pula, kedudukan strategik negeri ini yang menjadi pintu laluan utama Negara luar untuk datang ke negeri ini seperti rakyat dari Filifina dan Republik Indonesia. Banyak perkara yang perlu kita teliti sebelum mengemukakan sesuatu Kajian yang terperinci perlu dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian kebanjiran PATI ke negeri ini. Jika kita ingin mencadangkan hadkan kuota peluang pekerjaan untuk mereka,satu persoalan yang timbul adakah golongan muda di negeri ini sudah bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan tersebut? Perkara ini juga perlu diperhalusi dari segi pro dan kontranya barulah terbit satu penyelesaian secara berhikmah.
Kesimpulannya, rakyat di negeri Sabah juga perlu memainkan peranan yang penting dan terus komited dalam menyelesaikan sesuatu kemelut dan bukannya hanya tahu menuding jari sahaja kepada pihak lain. Kerajaan pula perlu lebih bertenaga dan sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam usaha membanteras permasalahan ini hingga ke akar umbi. Sekiranya kebanjiran PATI ke Negara ini berkaitan dengan unsur korupsi, mereka seharusnya diheret ke muka pengadilan! Justeru, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketat agar PATI dapat dikurangkan.
By aini