Tuesday, August 25, 2009

BELIA:PERSIAPAN MENGHADAPI CABARAN

KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Namun persoalannya adakah belia sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara? Adakah zaman muda remaja dan belia negara kita dipenuhi dengan aspirasi untuk menjadi belia yang berwawasan dan proaktif?
Belia ditakrif sebagai golongan yang berusia di antara 15-40 tahun. Di Malaysia, golongan belia mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang tidak boleh dipandang remeh dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dalam usaha pembangunan dan pengurusan belia. Kamus Dewan mendefinisi perkataan wawasan pula sebagai sesuatu pandangan atau konsepsi berkaitan sesuatu perkara. Orang yang berwawasan boleh dikatakan sebagai orang yang mempunyai visi dan misi serta mempunyai pelan-pelan tindakan dan strategi dalam memajukan diri.
Orang yang berwawasan juga mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang tinggi dalam membangun potensi diri dan orang lain.Amat menyedihkan apabila golongan belia dan remaja sering dikaitkan dengan fenomena yang kurang baik. Dewasa ini kita disogokkan dengan cerita-cerita negatif yang melanda golongan ini sehinggakan kita sering tertanya-tanya akan puncanya. Kemajuan dan pembangunan seringkali dijadikan sebagai alasan kepada tindak-tanduk yang kurang bermoral dan telah mendorong kepada perubahan drastik kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Kemajuan telah menjadikan taraf hidup semakin meningkat, keperluan keluarga semakin bertambah dan individu semakin bersaing untuk menjadi hebat. Ada yang berjaya menjalani kehidupan dengan lancar, namun ada juga yang tidak dapat menongkah arus yang pesat ini lalu rebah dengan pengaruh yang kurang elok. Pun begitu, Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Malah, Islam amat menggalakkan umatnya berusaha untuk mempertingkatkan diri dan umat asalkan tidak tercicir daripada landasan syariat.
Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Adalah lumrah dan fitrah untuk mencari harta dan kesenangan di waktu muda belia kerana itu adalah keperluan hidup. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri.
Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan ke jalan yang benar dan berintegriti. Sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara dalam semua bidang. Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.
Belia yang berjiwa kekhalifahan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah dan barakah. Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah negara yang maju dalam acuan kita sendiri.
Acuan sendiri haruslah tidak menolak faktor-faktor luar yang sifatnya bermanfaat dan dalam masa yang sama, faktor keislaman dapat dicemerlangkan. Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat sebarang kelemahan, sedia berkorban serta memahami prinsip kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.
Merenung peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi tonggak utama perjuangan Rasulullah. Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.
Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik. Pertamanya, golongan belia harus dibangun dengan nilai-nilai Islami dan murni. Minda golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru. Pendekatan Barat misalnya tidak semuanya selari dengan apa yang diperlukan dalam hidup. Namun harus diingatkan bahawa Barat tidak harus ditolak secara mutlak, tetapi proses pembaratan harus diwaspadai. Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan mengalami ketirisan.
Keduanya, memperkukuh pendidikan secara integrasi supaya adanya kesepaduan antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Mempelajari asas agama adalah suatu kewajipan yang penting, dan kita sedar akan pentingnya menuntut ilmu yang kifayah. Tetapi dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat. Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.
Seterusnya, pembangunan belia harus dijana melalui pembangunan modal insan yang berkualiti dan seimbang. Ini amat signifikan dalam usaha menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama. Program-program yang dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak dan didasari dengan objektif yang berguna dan bermanfaat. Badan-badan belia dan pertubuhan remaja wajar diberi peluang yang luas untuk mendedahkan aktiviti mereka kepada umum untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia.
Kerjasama antara badan-badan pertubuhan juga amat penting supaya potensi golongan belia dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul.Keempat, mengekang pengaruh budaya popular dan pendekatan secara hedonistik. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh hedonistik menjadi cabaran kepada gaya dan cara kehidupan pada zaman ini. Media cetak dan elektronik perlu menunjukkan contoh yang baik dan menampilkan laporan yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnah. Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda harus disaji kepada minda golongan belia dan remaja dengan harapan agar ia dapat membina golongan belia yang berwawasan dan berpandangan jauh.Kelima, melibatkan golongan belia dan remaja dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Bidang keusahawan menjanjikan peluang dan rezeki yang amat luas untuk golongan belia.
Selain daripada menjanjikan keuntungan yang tinggi, bidang ini menjana golongan belia supaya berfikiran lebih positif, berwawasan, kreatif, dan cekal. Kemahiran kendiri (soft skills) juga dapat dibangunkan dengan baik. Rasulullah SAW di zaman belianya juga adalah seorang peniaga yang amat handal dan bijak. Justeru, amat wajar belia diberi peluang yang luas dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja untuk keuntungan sendiri, malah juga membantu meningkatkan ekonomi negara dan umat secara seluruhnya.Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya.
Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.