Wednesday, August 19, 2009

USRAH MINGGU INI

Saf Pimpinan Kanan

Dimulakan dengan perbincangan kelebihan al fatihah,kelebihan basmalah:bagaimana kita membenarkan ayat ini dalam kehidupan kita sebagai muslim,disusuli kupasan pendahuluan buku kebangkitan generasi Salahuddin Al Ayubi dan hinggalah Isu semasa tentang ekonomi.Semua ilmu yang di diskusikan ini merupakan satu proses melatih pemikiran kami sebagai ahli gerakan mahasiswa agar lebih berani mengutarakan pandangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

Banyak yang telah saya perolehi melalui intipati usrah yang diadakan, apatah lagi saya dan sahabat-sahabat gerakan cuba membuktikan kebenaran maksud ayat basmalah dalam kehidupan sehari-harian ketika melalui pelbagai ujian.

Saya sendiri sempat berkongsi sebuah kisah benar yang pernah berlaku pada diri saya semasa mengahadapi beberapa kesulitan pada saat genting .Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana kesukaran yang saya hadapi pada saat itu.Berkat dengan pertolongan Allah swt melalui sahabat-sahabat gerakan yang akhirnya segala urusan dipermudahkan begitu sahaja. Hal ini Jelas membuktikan pada saya tentang sifat ar rahman dan ar rahim Allah swt kepada hamba-hambaNya.Benarlah kata-kata Allah swt melalui surah insyirah: ayat 6-7:

" SESUNGGUHNYA, DISEBALIK KESUSAHAN ADA KEMUDAHAN, DISEBALIK KESULITAN ADA KESENANGAN"

Apabila melihat pencernaan idea dan pandangan daripada sahabat-sahabat gerakan yang lain, teringat saya pada satu perkongsian pendapat daripada salah seorang sahabat usrah saya yang mana berkongsi tentang keberkatan amalan bacaan ayat basmalah ketika memulakan sesuatu perkara.

Dalam kajian sains sendiri pun pernah melakukan kajian tentang molekul-molekul air yang dibaca dengan ayat-ayat al quran membentuk kristal-kristal yang cukup cantik dan menakjubkan sama seperti kandumgan molekul air yang terdapat dalam air zam zam. Berlainan pula dengan air yang didengarkan dengan muzik-muzik linkin park, metalica dan muzik alternatif lain yang mana jelas menunjukkan kandungan dalam molekul air dibandingkan tidak cantik seperti yang terdapat dalam molekul air yang dibacakan dengan ayat-ayat al quran. Betapa hebatnya kekuasaan Allah swt ini untuk diinsafi oleh semua hamba-hambaNya.

Saya sendiri pernah membaca sebuah buku yang bertajuk "keajaiban sholat:kajian dari sudut saintifik"yang mana buku tersebut ada mengupas tentang diri manusia sendiri samada ketegori manusia yang suka mendengar dan mengamalkan zikir dan membaca ayat-ayat al quran dan kategori manusia yang suka mendengar kata-kata yang tidak baik. Buku ini telah menghuraikan bagaimana seseorang itu sekiranya mengamalkan ayat-ayat suci al quran, diri mereka sentiasa tenang dan tenteram walaupun telah di uji dengan pelbagai dugaan.Hal ini disebabkan air yang terdapat dalam tubuh badan manusia telah dipengaruhi dan berubah membentuk molekul air yang memiliki kristal.Tidak seperti badan manusia yang tidak mengamalkan ayat-ayat Allah swt. Begitulah serba ringkas saya berkongsi tentang sebuah buku.

Berbalik pada perbincangan dalam usrah tersebut juga, saf pimpinan kanan ada membincangkan pendahuluan sebuah buku yang penuh iktibar dan perlu diteladani oleh semua lapisan masayarakat. Tajuk buku tersebut ialah Kebangkitan Generasi Salahudin Al Ayubi dan kembalinya al aqsa ke pangkuan Palestin. Dalam buku ini diceritakan juga apakah kekuatan tentera salahuddin sehingga mampu merampas semula masjid Al aqsa daripada orang-orang Yahudi. Kehebatan tentera Sultan Salahudin Al Ayubi ketika melawan musuh mereka (yahudi) ialah mereka tidak pernah meninggalkan sholat malam. Mereka sentiasa bangun pada waktu malam untuk mengisi kekuatan rohaniyah mereka. Sebenarnya, terlalu sukar untuk saya menceritakan tentang kehebatan sejarah tentera salahuddin al ayubi, melainkan sahabat-sahabat sendiri yang membaca terus daripada buku tersebut.

Justeru, apa yang penting dalam pembentukan paradigma, kita perlu meningkatkan pengetahuan kita tentang sejarah-sejarah ketamadunan islam yang silam bagaimana sesebuah peradaban bangsa itu boleh mencapai zaman kegemilangannya tetapi akhirnya runtuh begitu sahaja.Dimana asasnya pengukuhan sesuatu tamadun tersebut. Selain itu, Paradigma pemikiran ini juga tidak perlu disempitkan dengan bahan-bahan bacaan tertentu sahaja tetapi perlu bersifat transformasi global yang merentasi semua bidang-bidang keilmuan sejagat.Tidak mustahil suatu hari nanti, kehebatan dan kegemilangan islam itu sendiri akan bertakhtah semula dalam dunia kita pada hari ini.

Diharapkan Usrah yang diadakan dalam saf pimpinan kanan ini juga mampu melahirkan insan-insan yang berkualiti terutamanya dalam mengadakan anjakan paradigma seterusnya menyegarkan lagi budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa Unisel.

Jika setitis air itu,
mampu melahirkan ombak dan badai,
maka setitis keringat itu,
mampu melahirkan bangsa yang permai.